Rita Tidak Kisah Pandangan Serong Masyarakat

Kamis, 13 Maret 2014 0 komentar


Pelakon Rita Rudaini tidak kisah akan tanggapan serong masyarakat terhadap dirinya berikutan masalah rumahtangganya yang sering kali menghiasi dada-dada akhbar sejak tercetusnya permasalahan dengan suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Susulan kenyataannya menuduh bekas mertua kurang didikan agama, ramai peminat yang pada mulanya bersimpati dengan aktres itu dilihat semakin meluat dengan tindakan Rita yang dilihat sebagai wanita lantang serta ‘wanita bermulut jahat’ kerana kata-katanya yang agak kasar itu.

Rita turut membuat kenyataan terbarunya menerusi Berita Harian mengatakan kemanisan rumahtangganya bersama Aidil hanya sempat dikecapi selama sembilan bulan pertama sahaja.

“Sembilan bulan yang pertama memang kami cukup bahagia. Tetapi sejak keluarganya campur tangan, kami sering bergaduh. Jarang pergaduhan itu berpunca daripada masalah kami, tetapi datanya daripada keluarga Aidil. Setiap kali pulang menziarah keluarganya di Seremban, sikap Aidil pasti berubah. Ada sahaja perkara yang akan mencetuskan pergaduhan hingga setiap kali dia balik ke sana, tidak sedap jadinya hati saya,” katanya.

Selain itu Rita turut menjelaskan dia pernah dihalau dari rumah kakak Aidil tanpa belas kasihan ketika sedang mengandungkan anak sulung pasangan itu dan menambah hubungan mereka tidak direstui kerana aktres itu lebih berusia daripada Aidil dan juga disebabkan status jandanya.

Rita diceraikan Aidil pada 27 Ramadhan lalu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), pasangan itu bernikah pada 2008 dan dikurniakan dua anak lelaki yang kini berusia empat dan dua tahun.

Oleh: AUDREY LEE

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 Buka Kaca